Wednesday, January 30, 2008

Sibuk

Saya pernah menulis pada seorang teman, bahawa sibuk hanyalah alasan. Kita akan punya masa, walau seketika, pada hal-hal yang kita rasakan penting.

Hal-hal yang penting itulah yang akan menyibukkan kita. Dan oleh sebab adanya hal-hal yang penting itu, kita tidak melakukan perkara-perkara lain atas alasan: saya sibuk.

Saya berjanji dengan teman bahawa saya tidak patut sibuk untuk seorang kawan. Saya perlu ada masa. Alasan 'sibuk' bunyinya terlalu janggal, terlalu berpusat pada diri.

Pun begitu, saya perlu mengakui bahawa dalam hidup ini saya perlu memberikan keutamaan, dan kadang-kadang saudara berada dalam senarai nombor dua atau tiga dalam hidup saya. Bukan nombor satu.

Bagaimana manusia membuat keutamaan dalam hidup mereka adalah suatu hal yang menarik. Ia tidak ringkas. Paling kurang dalam hal saya, saya fikir hal-hal yang menyibukkan saya selalunya ada kaitan dengan pencarian sumber rezeki atau hal-hal pengurusan kelab, atau hal-hal penulisan, atau hal-hal berkaitan bertukar-tukar idea.

Saya percaya pola 'hal-hal penting' dalam hidup saya banyak berkait rapat dengan sesuatu yang dekat daripada segi tempat, atau individu yang hampir dengan saya.

Apabila saudara jauh daripada saya, terpaksa saya nyatakan, bahawa banyak kali saya terlupa saudara wujud, dan saudara adalah sebahagian daripada sisi penting dalam hidup saya.

Saya perlu menulis ini supaya saudara tidak jauh hati dengan saya. Bunyinya enak apabila saya mampu katakan bahawa semakin hari saya semakin ramai kenalan, Dan kenalan itu ramainya orang besar dan hebat-hebat belaka.

Cuma sekadar kenal tidak cukup. Hubungan antara manusia, dengan manusia yang lain tidak wajar berhenti pada kepentingan mencari wang, tetapi lebih daripada itu. Ia perlu ada emosi. Saling bertanya khabar, saling berkongsi fikiran dan bagi saya, makin kerap bertemu, makin baik.

Atas logik di atas, mungkin ada teman yang merasa jauh dengan saya, atau pada sisi ekstrem yang lain, takut dengan saya. Yang jauh fikir apabila saya diam, saya sudah terus lupa dia. Yang takut fikir saya terlalu kerap muncul dalam hidup, kadang-kadang seperti memaksa.

Tindakan saya boleh buat orang jatuh hati, atau terus membenci.

Saudara usahlah patah hati dengan saya, ya. Jika saudara fikir ada pendekatan saya yang tidak kena dengan saudara, saudara boleh bilang sama saya.

Hidup ini banyak kalinya mencuba-cuba, pendekatan saya pun satu percubaan. Saya mungkin saja silap.

_____________

Khas untuk Len:

E-mail awak sudah tertangguh lama benar. Oleh sebab pertanyaan awak sangat umum, saya fikir saya boleh menulisnya di sini. Awak tidak kisah, bukan?

;)

Soal aurat bukan soal jantina. Ia soal agama , ia hak tuhan. Samada lelaki, wanita, anak dara atau teruna, hukumnya sama.

Saya suka melihat pada individu. Semua pun wajib ikut perintah tuhan. Lelaki mahupun perempuan.

Penekanan masyarakat pada wanita mungkin kerana masyarakat sudah terbiasa menyuruh-nyuruh wanita, tetapi membiarkan lelaki. Lihat saja apabila rumah bersepah, wanita akan dipersalahkan, padahal lelaki juga wajar berkemas. (ps: er, di rumah biasanya adik perempuan saya juga yang berkemas :) )

Pada sisi yang lain, saya fikir aurat pada wanita itu peranannya mungkin sekali sangat besar berbanding lelaki. Satu, tarikan daripada fizikal wanita sangat kuat dan tarikan fizikal lelaki tidak sekuat itu. Ini dibuktikan secara saintifik dan awak boleh google untuk mencari kajian-kajian berkaitan.

Kedua, sifat berhias wanita sangat tinggi berbanding lelaki. Variasi pemakaian wanita juga sangat pelbagai. Sikap ini baik, bukankah wajah cantik kurniaan tuhan itu untuk dijaga? Awak pasti bersetuju Len ;) Namun, banyak kali, lebih-lebih lagi dalam mahu cantik itu, wanita diperguna.

Cantik itu kerana dedah-dedah. Kerana terbonjol sini sana. Yang senyum simpul dan jilat lidah, lelaki juga. Apabila aurat ditutup, tidaklah wanita diperalat untuk memenuhi nafsu ghairah lelaki.

Lama dahulu, saya pernah menulis analogi ini. Katakan sahaja lelaki dan wanita itu sepasang kasut. Lelaki kasut sebelah kanan, perempuan kasut sebelah kiri. Tidak usahlah berbalah siapa lebih mulia, kita saling memerlukan.

Cuma mungkin lelaki seperti kasut sukan, wanita seperti kasut tumit tinggi. Satu boleh dilanyak-lanyak, satu lagi perlu dijaga dan diguna dengan berhati-hati.

Awak pandai orangnya. Boleh fikirkan lagi sebab-sebab lain kenapa saya gunakan analogi ini. Saudara pun apa kurangnya :)

Er, Len, adakah saya menjawab soalan awak? Jika tidak, awak perlu tunggu dua minggu lagi untuk tulisan baru :p

2 Comments:

At 4:47 PM, Blogger mira said...

baca sini: http://blog.liferemix.net/lazy-productivity-10-simple-ways-do-only-three-things-today

 
At 8:08 AM, Blogger Nizam Ahmad said...

ya! saya benci kamu ! sebab kamu x pernah nak link-kan blog saya kat blog kamu ni :p

 

Post a Comment

<< Home